Hadith:
Dari Abdullah r.a katanya:Rasulullah s.a.w bersabda:Perkara yang mula-mula diadili antara umat manusia kelak di hari kiamat ialah perkara penumpahan darah (pembunuhan)
Huraian Hadith:
Dosa biasanya dikaitkan dengan perintah atau larangan. ertinya, tidak melaksanakan apa yang diperintahkan adalah berdosa dan melakukan apa yang dilarang juga adalah berdosa. Itulah sebabnya mengapa jika tidak melakukan solat, puasa, membayar zakat dan sebagainya diklasifikasikan sebagai dosa sama seperti perbuatan berzina, berbohong atau membunuh diri dan membunuh orang lain juga adalah berdosa. Perbuatan membunuh contohnya amat dilarang keras oleh Islam kerana manusia itu dimuliakan oleh Allah dan diutamakan melebihi kebanyakan makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain. Firman Allah S.W.T: "Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan." (Al-Israa: 70) Orang mukmin tidak boleh membunuh tanpa alasan yang haq dan sesiapa yang telah melakukan perbuatan itu dengan sengaja hendaklah segera bertaubat kerana dosa pembunuhan tidak akan terlepas daripada perhitungan Allah S.W.T di hari akhirat kelak kecuali mendapat keampunan daripada Allah kerana hukum Allah akan benar-benar berlaku, iaitu jika tidak mendapat keadilan (pembalasan) di dunia, azab yang menyiksa bakal menunggu di akhirat nanti.
Riwayat (Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan