TANPA SINERGI TIMBUL TRAGEDI

Sekumpulan besar arnab dan tikus berperang habis-habisan. Puncanya ialah mereka berebut untuk menguasai satu kebun keledek berhampiran tempat tinggal mereka. Sudah banyak nyawa terkorban bagi kedua-dua belah pihak, namun mereka terus berperang.
Akhirnya hanya seekor tikus dan seekor arnab sahaja yang tinggal. Itupun tubuh badan kedua-duanya cedera dan luka-luka. Nampaknya kini mereka berdepan satu lawan satu.
“Ini pertarungan penentuan!”
“Ya, ini persoalan hidup atau mati!”
“Mengapa kamu perlukan sangat kebun keledek itu? Mengapa kamu tidak cari sahaja makanan dalam hutan dan serahkan kebun keledek itu kepada kami?” Kata arnab.
“Di hutan, makanan sudah semakin kurang. Kami terpaksa bersaing dengan binatang lain,” jawab tikus.
“Oh, begitu...,” kata arnab mula memahami.
“Kenapa pula kamu sangat inginkan kebun itu?” Tanya tikus.
“Kami pun sama juga. Sekarang musim kemarau. Kami kehabisan makanan. Jika kami tidak dapat kebun keledek itu kami akan mati.”
“Oh, serupalah nasib kita. Tanpa kebun keledek itu kita semua akan mati.”
“Tetapi sekarang, semua kawan kita sudah pun mati kecuali kita berdua,” balas arnab sedih. Tikus berdiam diri dan juga rasa sedih.
“Selama ini saya tidak tahu arnab makan ubi keledek,” ujar tikus.
“Eh, tidak! Kami tidak makan ubi keledek. Kami hanya makan daunnya.”
“Daun? Kami pula makan ubinya! Jadi selama ini kita sama-sama merebut kebun keledek ini tapi untuk bahagian yang berlainan? Kami tikus hendakkan ubinya dan kamu arnab perlukan daunnya.”
“Mengapa baru sekarang kita tahu? Sepatutnya peperangan ini tidak berlaku. Kita sepatutnya berunding dahulu bagi mencapai kesepakatan.”
“Ah, malangnya kita sudah terlambat! Semua kawan kita sudah mati.”
PENGAJARAN:
Dalam apa jua konflik, rundingan yang harmoni amat perlu untuk menghindarkan berlaku krisis yang lebih besar. Keadaan menang-menang boleh dicapai sekiranya kita bersikap terbuka dan saling bekerjasama.
Diadaptasi daripada Buku Angguk Geleng...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan