ULASAN l Kita suka kalau anak hafal semua sajak Usman Awang
atau mahir semua lirik lagi Siti Nurhaliza. Jika semua ibu bapa ditanya apa
mereka pilih bagi anaknya antara hafal lagu Siti Nurhaliza dan hafaz Quran.
Ibu bapa yang muslim akan memilih hafaz Quran. Siti
Nurhaliza tentu suka anaknya hafal semua lirik lagunya, tapi jika anak boleh
hafaz Quran, tentu baginya ia lebih baik. Bahkan Datuk K yang gila dengan lagu
Nurhaliza, merasa lebih bahagia jika anaknya dengan izin Allah boleh hafaz
Quran dari hafal semua lagu isterinya.
Almarhum Datuk Aziz Singah seorang seniman wayang.
Dihantarnya anak ke sekolah tahfiz dan khatam. Bahagia jenazahnya solatnya
diimam oleh anaknya sendiri. Norman Hakim juga pernah jadi orang wayang
dihantarnya anaknya menghafaz Quran di Turki.
Pada benak setiap ibu bapa muslim bercita-cita jika boleh
setiap anaknya hafaz Quran. Biar anak itu jadi doktor, jurutera, pengurus bank,
saudagar sekaya Robert Kuok, tapi yang eloknya itu juga hafaz Quran. Muslim
yang tak betul otaknya saja tak suka anak cucunya hafaz Quran dan tak suka
wujudnya sebarang maahad tahfiz.
Yang macam ini, bukan sekadar tak mahu anak cucunya jadi
hufaz, anak orang lain pun jangan hafaz Quran. Demokrasi sekular memberi pilihan
menyekolahkan anaknya di sekolah, sekolah Tamil atau sekolah Bangla. Jika ibu
bapa memilih pondok atau sekolah tahfiz, itu hak mereka.
Demokrasi pendidikan membuat peruntukan perkepala untuk
setiap anak Malaysia. Peruntukan itu ikut sekolah mana anak itu belajar.
Kerajaan Umno pernah tidak menunaikan hak anak yang ke sekolah pondok. Laporan
Jawatankuasa Murad Mohd Nor tentang kebakaran sekolah rakyat Padang Lumat, Yan
mentakwil perkara itu.
Muslim apa jika mahu sekolah tahfiz ditutup. Ini mesti
muslim Kamal Ataturk. Semua sekolah Arab ditutup. Quran naskah Usmani diharam.
Yang dibenarkan Quran rumi. Orang Turki kata, dia tidak sekadar anti Islam,
bahkan anti Turki, bangsanya sendiri.
Ataturk bertindak begitu supaya Turki diterima sebagai orang
Eropah. Sampai hari ini Eropah tolak Turki masuk komuniti Eropah.
Ketika Turki menuju arah membuang Ataturk ke bakul sampah
sejarah, ada orang Islam hendak jadi Ataturk kecil. Biarkan dia dengan
labu-labunya.
Moga-moga roh Aziz Singah bahagia kerana ada sekolah anaknya
hafiz. Anak yang hafaz itu membwa syafat kepada ibu bapa. Ada pendapat ulama
mengatakan seorang hafiz membantu 20 keluarga terdekat menjadi ahli syurga.
Moga-moga pendapat itu betul. Amin!
Turki sejak tahun 50-an menuju arah generasi al-Quran. Ribuan
remaja hafaz Quran setiap tahun. Sebuah negara yang mundur beberapa dekad
setelah kejatuhan empayr Othmaniah, kini ekonomi dan kewangannya antara yang
terkukuh di Eropah. Generasi al-Quran dipercayai mengangkat ketahanan umat.
Yang kita mahu ialah syafaat dari penguasaan al-Quran.
Semasa rombongan meminang anak saya, saya ditanya syarat peminangan. Maksudnya
hantaran. Saya tidak meletak harga kerana bukan hendak menjual anak. Berapa
kupang pun tak mengapa. Kalau bawa selori atau 60 kotak dinar emas, saya tidak
marah.
Satu syarat kepada bakal besan, setiap cucu saya mesti jadi
calon hufaz. Saya tidak tahu apakah syarat itu disampaikan oleh wakil rombongan
kepada besan. Itu wasiat saya untuk cucu-cucu saya. Seramai hufaz yang boleh.
SUBKY LATIF ialah wartawan veteran dan bekas anggota
Jawatankuasa Pusat PAS. Tulisan ini disiarkan kali pertama di Harakahdaily
dengan judul yang sama.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak
semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini. 20 julai 2018
Artikel ini diambil di portal Malaysiakini oleh penulis blog
ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan