Kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan

Daripada Abi Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda; Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan (hilal) dan berbukalah kamu (berhari raya) kerana melihat hilal. Apabila hilal terlindung awan daripada pandangan kamu, maka sempurnakanlah bulan tersebut (tiga puluh hari).
Huraian Hadith:
1. Puasa ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai daripada terbit fajar hingga tenggelam matahari
2. Umat Islam adalah diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan apabila sahaja ternampaknya hilal iaitu anak bulan, dan disertai pula pengisytiharan bermulanya puasa oleh pihak yang berkuasa.
3. Asas penentuan bulan Ramadhan dan Syawal adalah berpandukan kepada anak bulan (hilal) yang disandarkan kepada dalil al-Quran dan Sunnah Rasulullah.
4. Islam juga telah memberi garis panduan kepada umatnya untuk menentukan tarikh puasa dan juga hari raya dengan mengikut rukyah atau pun hisab.
5. Orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan. iaitu ketika berbuka dan kegembiraan ketika menemui Allah di hari akhirat kelak.

Perkara yang mula-mula diadili

Hadith:
Dari Abdullah r.a katanya:Rasulullah s.a.w bersabda:Perkara yang mula-mula diadili antara umat manusia kelak di hari kiamat ialah perkara penumpahan darah (pembunuhan)
Huraian Hadith:
Dosa biasanya dikaitkan dengan perintah atau larangan. ertinya, tidak melaksanakan apa yang diperintahkan adalah berdosa dan melakukan apa yang dilarang juga adalah berdosa. Itulah sebabnya mengapa jika tidak melakukan solat, puasa, membayar zakat dan sebagainya diklasifikasikan sebagai dosa sama seperti perbuatan berzina, berbohong atau membunuh diri dan membunuh orang lain juga adalah berdosa. Perbuatan membunuh contohnya amat dilarang keras oleh Islam kerana manusia itu dimuliakan oleh Allah dan diutamakan melebihi kebanyakan makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain. Firman Allah S.W.T: "Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan." (Al-Israa: 70) Orang mukmin tidak boleh membunuh tanpa alasan yang haq dan sesiapa yang telah melakukan perbuatan itu dengan sengaja hendaklah segera bertaubat kerana dosa pembunuhan tidak akan terlepas daripada perhitungan Allah S.W.T di hari akhirat kelak kecuali mendapat keampunan daripada Allah kerana hukum Allah akan benar-benar berlaku, iaitu jika tidak mendapat keadilan (pembalasan) di dunia, azab yang menyiksa bakal menunggu di akhirat nanti.

Riwayat (Muslim)

Antara Sabar & Mengeluh

Hadith:
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.
Huraian Hadith:
1. Tribulasi atau ujian adalah seiringan dengan perjuangan. Oleh itu ia tetap memerlukan bekalan iman, sabar dan istiqamah.
2. Ujian dijadikan Tuhan untuk mengukur sama ada keimanan seseorang itu kepada Allah dan seluruh ajaranNya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan atau hanya terhenti setakat di mulut sahaja.
3. Umat Islam akan diuji dengan lima perkara iaitu saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya, orang munafiq yang sentiasa membencinya, orang kafir yang sentiasa memeranginya, syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya dan bisikan hawa nafsu yang sentiasa menggoncang keimanannya. Semuanya ini menuntut kesabaran dan di dalamnya terdapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.
4. Lawan bagi sabar adalah mengeluh dan ia merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana dengan mengeluh akan membuatkan semangat menjadi lemah dan terbitnya perasaan kecewa dan putus asa sedangkan Allah SWT berfirman dengan maksudnya:Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (al-Insyirah:6)
5. Tanpa masalah atau ujian tidak akan wujud kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kejayaan dalam kehidupan.

Riwayat Al-Hakim