Dengar Dengan Hati..

Seorang guru bertanya kepada pelajarnya yang berusia tujuh tahun, “Kalau cikgu bagi kamu satu biji epal, satu biji epal lagi dan satu lagi epal, berapa biji epalkah yang kamu dapat?”
 
Sepantas kilat pelajar itu menjawab dengan yakin, “empat.”
 
Guru kecewa dengan jawapan yang diberikan kerana mengharapkan jawapan yang diberikan ialah tiga. “Mungkin dia tidak mendengar dengan baik,” bisik guru itu.
 
Guru tersebut mengulangi soalan yang sama sambil meminta muridnya mendengar dengan teliti.
 
Murid tersebut yang dapat membaca kekecewaan pada wajah gurunya itu, mula mengira dengan jari. Kali ini dihitung lama-lama dengan harapan agar jawapan yang diberikan dapat membuatkan gurunya gembira, bukan bertujuan mencari jawapan yang tepat. Tanpa ragu-ragu, diulang jawapan yang sama, “empat, cikgu!”
 
Gurunya masih kecewa dengan jawapan kedua yang masih lagi salah. Kemudian dia teringat bahawa muridnya itu amat menggemari oren, maka diubahkan sedikit soalan itu. “Kalau cikgu berikan kamu sebiji oren, sebiji oren dan sebiji lagi oren, berapakah jumlah oren yang kamu miliki?”
 
Murid tersebut mengira dengan jarinya. “Tiga, cikgu!”
Kali ini jawapannya tepat. Wajah guru tersebut berseri-seri.
“Bagus. Tepat sekali jawapan kamu tu.”
“Sekarang, kalau cikgu bagi kamu satu biji epal, satu biji lagi epal dan satu lagi epal, berapa biji epalkah yang kamu dapat?”
Soalan awal diulangi lagi buat kali ketiga, namun jawapan yang diberikan tetap empat.
Kali ini si guru sudah hilang sabar. Disoalnya murid itu dengan marah, “macam mana kamu dapat jawapan empat pula ni?”
Dengan suara perlahan dan teragak-agak, murid itu menjawab, “sebab saya dah ada sebiji epal di dalam beg saya cikgu.”
 
Pengajaran:
 
Mungkin kita memahami sesuatu dari sudut yang berbeza, tetapi jangan sekali-kali mendengar dengan satu tanggapan yang sudah dijangka. Jadi, dengarlah dengan mata hati. Malah jika berbeza pendapat, tidak bermakna satu pihak betul dan satu pihak lagi salah. Boleh jadi kedua-dua pihak betul dan satu pihak lagi salah. Boleh jadi kedua-dua pihak betul atau kedua-duanya salah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan