KISAH SEBIJI BURGER

Pada malam itu, Siti bertengkar dengan emaknya lalu melarikan diri dari rumah. Semasa dalam perjalanan, Siti teringat bahawa dompetnya tertinggal dan dia tiada sebarang duit bersamanya.
Tiada duit syiling pun untuk menelefon rumah bagi meminta pertolongan.
Pada masa yang sama, perutnya berbunyi kerana kelaparan. Siti tiba di satu gerai burger yang baunya mengancam, kelaparannya makin bertambah. Siti mengharapkan untuk mendapat satu burger ayam, tapi dia tiada duit.
Penjual burger yang sedar dengan kehadiran Siti melihat dia sedang menggigil ketakutan lalu bertanya...
“Adik dah makan belum? Kalau nak, ambil burger ayam ini untuk makan dulu,” kata penjual burger itu.
“Tapi saya tiada duit pakcik,” kata Siti dengan sipu-sipu.
“Tak apa, pakcik belanja. Mari, duduk sini makan,” kata penjual burger itu sambil membancuh satu gelas air kopi panas untuk Siti.
Beberapa minit kemudian, Siti mengalirkan air mata...” “Mengapa sayang?” tanya penjual burger.
“Tak ada apa-apa. Cuma terharu dengan hati baik pakcik,” kata Siti sambil mengelapkan air matanya.
“Orang asing macam pakcik boleh bagi burger kepada Siti, tapi mak saya, lepas bertengkar dengan saya, dia halau saya keluar rumah. Kejam betul mak saya!” tambah Siti lagi.
Mendengar kata-kata Siti, penjual burger mengeluh.
“Adik, mengapa adik fikir begitu? Renungkan semula. Pakcik hanya beri adik satu burger, adik dah rasa terharu dan terhutang. Ibu adik membesarkan adik sejak kecil, mengapa adik tak pula rasa syukur malah bertengkar dengan ibu adik!” kata penjual burger.
Siti amat terkejut dengan jawapan itu, dan selepas berterima kasih dengan pakcik burger, dia terus berjalan menuju ke rumahnya.
Dalam perjalanan Siti asyik terfikir...
“Mengapa selama ini saya tidak terfikir perkara itu? Satu burger daripada seorang yang asing
boleh membuat saya rasa terhutang, tapi mak saya yang membesarkan saya sejak kecil dan saya tidak berasa sedemikian, walaupun sikit.”
Sejurus tiba di rumah, Siti melihat wajah maknya yang penuh kebimbangan bertukar menjadi lega melihat kepulangannya setelah puas mencari.
“Siti masuk. Mungkin kamu lapar, mak dah masak, jom makan,” kata maknya.
Siti terus menangis sambil menyembamkan muka di tangan maknya.
Pengajaran:
Di dalam kehidupan ini, kita kadang-kadang lebih mudah menghargai perkara-perkara kecil yang dilakukan oleh sahabat-sahabat di sekeliling kita, tapi untuk ahli keluarga terdekat, kita sering merasakan apa yang dilakukan oleh mereka adalah normal dan patut dilakukan tanpa sebarang penghargaan.
Kasih sayang dan keprihatinan keluarga terhadap kita adalah perkara berharga kurniaan Allah untuk kita sejak dilahirkan, terutama kasih sayang daripada kedua-dua orang tua. Mereka tidak pernah mengharap kita membayar kembali kos membesarkan kita, tetapi pernahkah kita mengerti untuk menghargai dan bersyukur dengan pengorbanan tanpa syarat kedua-dua orang tua kita.
Diadaptasi daripada Buku Senyumlah 3.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan