Amalkan menyebut nama ALLAH

Berapa ramaikah di antara kita sentiasa menyebut nama ALLAH dalam sehari? Dengan sentiasa menyebut nama ALLAH akan menghindarkan kita daripada melakukan  sesuatu yang ditegah. Rasulullah S.A.W. sering berpesan kepada umatnya agar berwaspada dengan tipu daya nikmat dunia. Sehubungan itu Rasulullah S.A.W. meninggalkan lima pesanan yang perlu diambil perhatian oleh setiap umatnya. Misalnya, menjaga maruah diri, keluarga dan masyarakat agar tidak terjebak dengan permainan hidup yang melalaikan dan merosakkan akidah.
1.      Sentiasa menyebut nama ALLAH daripada makhluk lain.
Dalam hidup seharian, kita lebih suka memuji sesama insan apabila mereka berbuat baik kepada kita atau memberikan sesuatu kepada kita tetapi jarang memuji ALLAH yang setiap masa memberikan kenikmatan hidup kepada kita.
Membasahi lidah dengan zikrullah adalah salah satu cara memuji dan mengingati ALLAH. Imam Ibnu Qayyim berkata, “Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh, apabila manusia gersang daripada siraman zikir, ia ibarat tubuh yang terhalang daripada menerima makanan asas.”
2.      Menyebut akhirat daripada urusan dunia
Rasulullah S.A.W. sering berpesan agar memperbanyakkan menyebut perkara-perkara yang berkaitan akhirat daripada perkara keduniaan untuk menyemarakkan semangat melakukan alam ibadat. Nikmat yang diperolehi di dunia sebenarnya hanya 1/100 daripada nikmat yang akan diperolehi di akhirat kelak. Maksudnya, kita usah terlalu memikirkan kehidupan di dunia sedangkan kehidupan untuk akhirat diketepikan.
Imam Al-Qurtubi ada menyebut, “Tuntutlah kurniaan ALLAH di dunia dan akhirat. Tuntutlah kurniaan ALLAH dari dunia untuk akhirat, iaitu syurga.”
3.      Menyebut dan mengingati kematian daripada kehidupan dunia
Semasa hidup kita sering memikirkan apakah bekalan yang akan kita kumpul apabila usia tua kelak tetapi kita lupa untuk mencari bekalan hari akhirat.
Apabila kita sering menyebut tentang kehidupan, kita lupa untuk mencari bekalan akhirat sedangkan kita tidak tahu bila masanya kita akan dijemput bertemu ALLAH. Sikap Saiyidina Ali r.a. perlu dicontohi, walaupun sudah dijamin masuk syurga tetapi tetap mengeluh kerana bekalan untuk hari akhirat masih sedikit.
4.      Elak memperkatakan kebaikan diri dan keluarga
Kerap memperkatakan kebaikan diri dan keluarga akan menimbulkan perasaan riak. Sifat ini memang disukai syaitan dan akan menyebabkan kita suka membanggakan diri. Sifat ini akan merosakkan pahala kebajikan yang pernah kita lakukan. Sebaik-baiknya kita bersyukur dengan nikmat yang ALLAH berikan. Apa yang kita perolehi di dunia ini sebenarnya kurniaan ALLAH dan bukan milik mutlak kita.
Rasulullah S.A.W. pernah berpesan, “Yang amat aku takuti ialah syirik yang paling kecil iaitu riak.” Ini kerana riak merupakan amal yang paling kecil semata-mata untuk diperlihatkan kepada orang dan meninggalkan amal bukan kerana ALLAH tetapi kerana orang.”  NAUZUBILLAH..

5.      Elakkan daripada memperkatakan keaiban atau memburukkan orang lain.
Sudah menjadi sikap kita sama ada disedari atau tidak, suka mengata dan melihat salah orang sedangkan salah sendiri, kita tidak melihatnya. Kita suka mengaibkan orang dan memuji diri sendiri. Biasakan diri untuk melihat kesilapan sendiri daripada mempamerkan kesalahan orang. Kita sering diingatkan agar melihat kebaikan orang walaupun kita melihat banyak kejahatan dilakukan.
Kita juga disarankan supaya bersangka baik dengan orang seperti kata Rasulullah S.A.W., “Cukuplah bagi seseorang keburukan jika dia menghina saudaranya sesama muslim.”
Amalkan solat istikharah terutamanya apabila ingin membuat sesuatu keputusan. Istikharah ialah kita mohon agar ALLAH memberi petunjuk mana satu keputusan yang patut dipilih. Insya-ALLAH tiada penyesalan yang akan berlaku terhadap keputusan itu pada masa hadapan.
Renung-renungkan dan selamat beramal..




                        

Tiada ulasan:

Catat Ulasan